MEMBACA tajuk muka depan akhbar-akhbar perdana pada hari Ahad, 13 April 2008, cukup merisaukan. ‘Ketuanan Melayu Tercabar’ – Mingguan Malaysia, 13 April 2008.
“Saya mahu bantu pulihkan UMNO” – Hishamuddin, Mingguan Malaysia, 13 April 2008. “Jangan buang masa” – Rafidah, Mingguan Malaysia, 13 April 2008. “Melayu perlu ada pendesak” – Ketua satu GAPENA, Mingguan Malaysia, 13 April 2008. “Semua ahli dan pemimpin UMNO perlu memberi tekanan kepada Presiden parti, Datuk Seri Abdullah untuk melepaskan jawatan” – Datuk Hashim Subuh, UMNO Perlis, Mingguan Malaysia, 13 April 2008. Ini diikuti dengan gesaan kuat oleh Tun Dr Mahathir sekali lagi supaya ‘segera buat peralihan kuasa’ - Mingguan Malaysia, 13 April 2008. Pada saya, UMNO sudah lusuh dan tidak relevan lagi.
Inilah jadinya apabila UMNO menolak Islam dan tidak mempedulikan Islam setelah diberi amanah kuasa sepanjang 50 tahun oleh rakyat. Semua kecelaruan ini terpancar dari kenyataan pahit krisis Ketuanan Melayu yang ada kena mengena dengan fiil pemimpin UMNO yang membelakangi Islam.
Apabila manusia UMNO cuba menjaga manusia tanpa merujuk kepada gembala manusia iaitu Allah SWT, maka inilah jadinya. Sebagaimana lembu tidakkan boleh menjaga lembu, dan lembu memerlukan manusia sebagai gembalanya maka begitulah dengan manusia.
Saya percaya UMNO tahu tentang hakikat ini, tetapi sengaja buat-buat tidak tahu. Inilah balanya yang menimpa arab sekarang ini. Dalam konteks setempat pula, akhirnya UMNO menjadi patti yang gemar berbuat syirik. Bermula daripada syirik sebagai hobi, dia menjadi semakin angkuh berbuat dosa melalui majoriti kuasa dua pertiga. Ini yang menjadikan yang halal diharamkan. Yang haram dihalalkan. Yang sunat dijadikan makruh, yang berdosa bertukar menjadi kebaikan. Yang maaruf pula dihukumkan sebagai mungkar. Segala kecelaruan ini telah diabsahkan melalui kuatkuasa akta dan undang-undang yang digubal oleh mereka. ISAlah. OSAlah. Akta Polislah. Akta Mesin Cetaklah. Akta Universiti dan Kolej Universitilah. Akta Hasutanlah.
Jika UMNO mendengar nasihat agama-nya sendiri dan mengambil endah teguran ikhlas oleh gerakan Islam yang dipelopori oleh PAS, tentu keadaan tidak jadi begini. Sudah puluhan tahun kami menegur, memberi tazkirah dan tazkiah selain memberi ingat, tetapi UMNO masih bangga dengan kuasanya. Dia buat-buat lupa sehingga akhirnya UMNO menjadi benar-benar nyanyuk dan pelupa.
Padahal jika UMNO menerima Islam secara komprehensif dalam pemerintahannya di segenap segi bermula daripada aqidah, ekonomi, integrasi kaum, pendidikan, hiburan dan undang-undang, saya tidak nampak krisis akhlak bangsa melayu, ekonomi melayu, Bahasa Melayu serta pelbagai masalah sosial orang melayu tidak akan dapat diselesaikan.
Jika UMNO mengamalkan Islam syamil berterusan sejak 50 tahun lalu, semangat perkauman bangsa Cina, Melayu dan India dapat diredakan. UMNO akan dapat menipiskan prejudis antara kaum dan antara bangsa. Ini lebih baik daripada mana-mana polisi kebangsaan yang kononnya mempunyai hasrat memupuk perpaduan kebangsaan, tetapi banyak perlaksanaannya masih bias kepada kepentingan satu-satu kaum. Lama kelamaan prejudis semakin tebal dan tidak menyelesaikan masalah perkauman di negara ini.
Walaupun semua orang tahu bahawa Islam sangat baik tetapi UMNO sengaja menolak Islam walaupun dia beragama Islam. Ini kerana UMNO ingin menyelamatkan partinya dari ditinggalkan oleh orang-orang melayu dan non melayu. UMNO takut untuk memperkenalkan Islam yang sebenar kerana takut orang cina dan orang melayu dalam UMNO menyokong PAS. Dengan kekhuatiran ini, UMNO mendengar nasihat ulamanya yang sengaja menyembunyikan Islam yang sebenar.
Dalam suasana perlaksanaan Islam yang sebenar, orang Cina dan India akan terasa dibawa ke satu suasana yang lain. Mereka akan menikmati keharmonian dan persaudaraan (brotherhood) seperti yang sedang dinikmati oleh penduduk berbilang kaum di Kelantan. Islam yang menghormati hak-hak bukan Islam dengan mengutamakan maaruf dan mencegah kemungkaran disamping menjalankan keadilan untuk semua akan melahirkan persaudaraan di kalangan rakyat.
Walaupun mereka boleh berbeza daripada segi bangsa, bahasa, dan keturunan tetapi Islam yang diambil secara syamil oleh pemimpin negara akan memberi peluang sepenuhnya untuk rakyat menikmati keharmonian Islam itu sendri.
Dalam Islam, kita tidak sangat lebih-lebih berbicara tentang bangsa sebagai dasar yang dijadikan aliran perjuangan karana kita ada Islam itu sendiri. Dalam komuniti Islam, orang mukmin Cina boleh menjadi imam kepada satu komuniti Melayu yang cuma sekadar muslim. Seorang anak muda India yang muslim pula boleh berkongsi mertua atau menerima menantu daripada bangsa Melayu. Tanpa was-was dan curiga, masakan orang Cina muslim boleh dijadikan menu lazat di sebuah restoran muslim Melayu.
Islam mencadangkan tiga cara untuk menyebarkan luas agamanya iaitu Bil Hikmah, Bil Maufizdhoh dan Bil Mujadallah. Sayang dan dukacitanya, ketiga-tiga kaedah ini tidak pernah dijadikan agenda oleh UMNO kerana dia (UMNO) suka menghabiskan masa bercakap soal-soal retorik. Ini berulang dalam slogan yang memabukkan hampir semua orang Melayu.
’Bersih, Cekap dan Amanah’, ’Cemerlang, Gemilang dan Terbilang’, ’World Class’, ’Glokal’, ’Melayu Baru’, ’Melayu Perlu Kurang Ajar’, ’Penyatuan Melayu’, ’Agenda Melayu’, ’Tak Melayu hilang di dunia’, ’Hidup mewah’, Projek mega’, dan ’Pembangunan’. Sikit-sikit, angkat keris! Sekarang saya mahu tanyalah. Kemana pergi semua slogan ini setelah 50 tahun kita merdeka? Kerja mmebela bangsa oleh UMNO selama ini adalah sia-sia belaka kerana UMNO tidak mempunyai hujah. Sampai bila kita mahu menjadikan kerja-kerja membela bangsa sebagai agenda nasional?
Jika kita mahu mengagungkan bangsa, orang lain pun boleh membesar-besarkan bangsa mereka. Kerja ini tidak sudah dan tidak akan ada penyelesaiannya.
Jurang perbezaan pendapatan akan makin ketara kerana perjuangan bangsa sering melunakkan kerja-kerja memakan rasuah dan politik wang di atas nama kepentingan klon daripada puak masing-masing. Seperti AS menghalalkan pengeboman dan pembunuhan atas dasar anti teroris.
Sudahnya orang Melayu tidak akan ke mana. Orang Melayu tidak boleh menjadi orang Cina dan orang Cina pun tidak boleh menjadi India atau Melayu. Amerika tidak akan menjadi orang Arab, dan orang Arab pun tidak berminat menjadi orang Amerika. Jelas bahawa perjuangan berteraskan bangsa menghabiskan masa. Ia sekadar boleh menghadiahkan pecah belah. Sampai bilapun tidak akan tercapai perpaduan nasional.
Dalam keadaan ekonomi orang melayu semakin lemah dan rekod UMNO yang semakin berkubur, mulalah UMNO bercakap soal penyatuan Melayu. Lagi-lagi perpaduan Melayu. Kenapa tidak bercakap soal perpaduan Islam? Saya teringat kata-kata seorang bekas pemimpin MCA di Kelantan yang pernah menyebut bahawa, ’selagi lembu makan rumput dan selagi Melayu makan duit (rasuah), maka kita tak usah bimbang’.
Ini satu gambaran tepat bagaimana duit boleh menutup pintu hati dan menyumbat mulut orang-orang Islam. Orang Islam jenis ini banyak terdapat dalam parti UMNO. Sebab itu UMNO sudah mula tersungkur di tengah-tengah lambakan duit dan pelbagai skandal penyalahgunaan kuasa.
Selangor mahu jadikan negerinya pembangkang sifar. Tahu-tahu pemimpinnya tersungkur dan kini menjadi ketua pembangkang. Di Kelantan, mereka mahu merawat Kelantan tetapi akhirnya mereka terlantar di hospital dan ada orang sedang menawarkan diri untuk memberi rawatan.
Sementara mendengar kecelaruan halatuju UMNO berbunyi, ”usaha merawat dan mencari kesilapan diri berterusan di dalam BN setelah LIMA minggu dihempap kekalahan teruk pilihanraya”. (NST 14 April 2008), saya ingin menghulurkan pemimpin UMNO dengan sepotong Firman Allah SWT yang bermaksud:
”Dan sesiapa yang tidak menyahut (seruan) Rasul yang mengajaknya ke jalan Allah SWT maka ia tidak akan melepaskan diri (dari azab walau ke mana sahaja ia larikan diri) di bumi, dan ia tidak akan memperolehi sesiapapun – yang lain dari Allah – sebagai pelindung-pelindung yang membelanya; mereka (yang demikian sifatnya) adalah dalam kesesatan yang nyata”. (Surah Al Anfal: Ayat 32).
Dalam keadaan-keadaan beginilah saya teringatkan satu lagi petikan ayat Al-Quran daripada surah As Sajdah, Ayat 12 yang bermaksud:
”Dan (alangkah ngerinya), jika sekiranya kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata) : Ya Tuhan kami, (sekarang ini Padang Masyar), kami telah melihat dan mendengar, maka tolong kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal soleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin”.
Artikel Karangan Mursyidul Am Parti Islam Semalaysia (PAS) merangkap Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat (Petikan Siasah 20-26 April 2008 / 13-19 RabiulAkhir 1429)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment