Thursday, May 8, 2008

Si penderhaka yang mahu membela istana




Tiba-tiba negara digemparkan dengan teriakan para hulubalang. Masing-masing menghunus keris dan menjulang-julangnya ke udara. Rakyat menjadi gamam. Apa pula gerangan isunya hingga para hulubalang itu menjadi gempar dan mengamuk tidak tentu haluan.

Baru sebulan lalu, para hulubalang di negeri sebelah Timur berdemonstrasi di hadapan istana. Membuka langkah menghantar memorandum tidak berpuas hati dengan Majlis Pemangku Raja. Watikah bantahan dihantar mempersoalkan tindakan majlis melantik bendahara negeri yang tidak diperkenan parti para hulubalang.

Di masa yang sama, puluhan perajurit memegang kain pemidang bertulis "Kami mahu Deris binatang!", "Kami sokong Deris sebagai bendahara", "Kami tak mahu Md Said". Banyak lagi kain pemidang yang ditayangkan di hadapan istana. Semuanya berunsur menghina dan menderhakai istana.

Selepas menghantar memorandum bantahan, para hulubalang itu bergerak ke kediaman rasmi bendahara dan membuat pengumuman penting.

Antaranya, jurucakap hulubalang mahu calon yang dipersetujui Yang Dipertua parti hulubalang diangkat sebagai bendahara. Jika calon lain diangkat istana, maka para hulubalang akan memberontak dan paling kurang pun meletakkan jawatan.

Begitulah tekad hulubalang. Apabila dingatkan sang warta bahawa hasrat para hulubalang untuk meletakkan jawatan akan menyebabkan mereka kehilangan jawatan itu buat seumur hidup, maka jurucakap para hulubalang penderhaka itu pun dengan gugup gagapnya berkata: "Errr... kami akan mengkaji semula hasrat kami itu, kami acah-acah aja..."

Kesudahan ceriteranya, hasrat para hulubalang itu tidak kesampaian, dan calon yang dipilih Majlis Pemangku Raja terus kekal sebagai bendahara.

Di sebuah negeri di utara Semenanjung, gegak gempita pemilihan bendahara juga berlaku. Calon daripada parti hulubalang mengamuk sakan kerana jawatan yang sepatutnya dianugerahkan kepadanya diberikan kepada orang lain.

Maka hulubalang itupun menghunuskan kerisnya ke udara mahu Yang Dipertua parti hulubalang bertegas melantiknya ke jawatan itu.

Watikah perlantikan telah diterima dan istana tiada hak mengetepikan watikah daripada parti hulubalang, jelasnya kepada sekumpulan sang warta.

Maka gegak gempita lah seluruh negara. Yang pekak datang bertanya. Yang bisu ternganga-nganga. Yang cacat datang bertongkat. Yang lumpuh berkerusi roda. Yang jahil menggeleng tak tahu apa-apa.

Akhirnya calon istana dipilih jua dan si hulubalang terpaksa menumpang rumah abang kakak kerana hilang tempat berteduh, setelah rumah rasmi diambil alih bendahara baru.

Tiba-tiba para hulubalang berbuat bising lagi. Kali ini angkara seorang bai tua berkerusi roda yang didakwa menghina istana. Bai itu dianggap biadap dan tak tahu adat Melayu kerana mempersoalkan titah Raja.

Ada seorang Melayu DKK yang punyai ilmu undang-undang menyifatkan si bai boleh didakwa kerana menghasut. Ada seorang Hulubalang Melayu DKA menuduh si bai sebagai biadap dan mencabar kedaulatan sultan. Maka si bai dianggap sombong dan bongkak setelah menang dalam pemilihan umum lalu.

"Parti hulubalang tidak pernah mempertikaikan titah istana. Kalau kita tak setuju pada istana, kita pergi menghadap sultan dan beritahu secara berbahasa," kata hulubalang Melayu DKA kononnya.

Ramai pemimpin Melayu tulen parti hulubalang turut masuk campur. Ada yang sanggup mempertahankan istana dari kebiadapan si bai walaupun mereka tahu si bai hanyalah seorang tua yang lumpuh berkerusi roda.

Ada juga pemimpin pelajar penyokong parti hulubalang yang memberikan tarikh lupus kepada si bai untuk menarik balik kenyataannya. Jika tidak keris mereka akan bermandi darah.

Begitulah gegak gempitanya parti hulubalang "mempertahankan kedaulatan istana" yang konon-kononnya kini tidak selamat kerana dicabar si bai berkerusi roda.

Komen paling keras datangnya daripada mantan Yang Dipertua parti hulubalang. Hulubalang tua itu menakutkan rakyat tentang gambaran sebenar masa depan rakyat jika parti-parti sekutu si bai tua diberi mandat besar oleh rakyat untuk menerajui negara.

Ada cubaan untuk mengaitkan parti muslim, sekutu parti si bai dalam kancah isu penderhakaan itu.

Bagaimanapun dua pemimpin kanan parti muslim dilaporkan sang warta mengambil pendekatan berhati-hati dengan tidak memberikan sebarang ulasan berhubung isu itu.

Ialah. Sikap pemimpin parti muslim itu difahami kerana sang warta mahir dalam kepandaiannya memutarbelitkan kenyataan pemimpin parti lawan parti hulubalang.

Seorang pemimpin Melayu tulen pernah dianggap murtad dan menggadai agama kerana memakai sigah kaum kadazan yang berlambang salib. Hasilnya, parti pemimpin Melayu tulen itu kalah teruk dalam pemilihan umum.

Bagaimanapun kemajuan teknologi siber menjadikan rakyat benar-benar celik isu.

Dalam hingar bingar sang hulubalang menghunus keris dan menjulangnya ke udara kerana kononnya mahu membela istana; hamba rakyat tertanya-tanya.

Bagaimana mungkin hulubalang yang berpakat mengurangkan kuasa para sultan ketika mereka di puncak kuasa boleh dipercayai untuk membela istana?

Bagaimana mungkin perajurit-perajurit hulubalang yang menghina istana dan sultan dengan lafaz kata "binatang" boleh lebih dibela dan diberi muka berbanding seorang bai tua yang hanya mahukan penjelasan tentang batas kuasa istana?

Bagaimana mungkin penghulu hulubalang yang menghunus keris mahu mengamuk ke saentero negeri kerana tidak dipilih sebagai bendahara, tiba-tiba mahu mendabik dada sebagai pembela istana?

Bagaimana mungkin hulubalang yang membawa lari puteri raja untuk dinikahinya di seberang negeri, kemudian diceraikan sesuka hati, mampu memelihara maruah istana dan raja negeri?

Bagaimana mungkin parti penderhaka boleh menjadi pelindung institusi raja-raja?

Maka si pekak, si bisu, si lumpuh dan si jahil yang pada mulanya geram menatap Utusan Warta, mencampak akhbar itu jauh-jauh dan berkata: "Kita tertipu lagi rupanya. Mana mungkin si penderhaka boleh jadi Sang Setia!"

Maka mereka pun pulang ke rumah membuka TV dan menonton rancangan "akademik fantasia" dan "jom buat-buat heboh".


Hasil tulisan : Ahmad Tajdid

Wednesday, April 23, 2008

Punca Tercabar Ketuanan Melayu

MEMBACA tajuk muka depan akhbar-akhbar perdana pada hari Ahad, 13 April 2008, cukup merisaukan. ‘Ketuanan Melayu Tercabar’ – Mingguan Malaysia, 13 April 2008.
“Saya mahu bantu pulihkan UMNO” – Hishamuddin, Mingguan Malaysia, 13 April 2008. “Jangan buang masa” – Rafidah, Mingguan Malaysia, 13 April 2008. “Melayu perlu ada pendesak” – Ketua satu GAPENA, Mingguan Malaysia, 13 April 2008. “Semua ahli dan pemimpin UMNO perlu memberi tekanan kepada Presiden parti, Datuk Seri Abdullah untuk melepaskan jawatan” – Datuk Hashim Subuh, UMNO Perlis, Mingguan Malaysia, 13 April 2008. Ini diikuti dengan gesaan kuat oleh Tun Dr Mahathir sekali lagi supaya ‘segera buat peralihan kuasa’ - Mingguan Malaysia, 13 April 2008. Pada saya, UMNO sudah lusuh dan tidak relevan lagi.

Inilah jadinya apabila UMNO menolak Islam dan tidak mempedulikan Islam setelah diberi amanah kuasa sepanjang 50 tahun oleh rakyat. Semua kecelaruan ini terpancar dari kenyataan pahit krisis Ketuanan Melayu yang ada kena mengena dengan fiil pemimpin UMNO yang membelakangi Islam.

Apabila manusia UMNO cuba menjaga manusia tanpa merujuk kepada gembala manusia iaitu Allah SWT, maka inilah jadinya. Sebagaimana lembu tidakkan boleh menjaga lembu, dan lembu memerlukan manusia sebagai gembalanya maka begitulah dengan manusia.

Saya percaya UMNO tahu tentang hakikat ini, tetapi sengaja buat-buat tidak tahu. Inilah balanya yang menimpa arab sekarang ini. Dalam konteks setempat pula, akhirnya UMNO menjadi patti yang gemar berbuat syirik. Bermula daripada syirik sebagai hobi, dia menjadi semakin angkuh berbuat dosa melalui majoriti kuasa dua pertiga. Ini yang menjadikan yang halal diharamkan. Yang haram dihalalkan. Yang sunat dijadikan makruh, yang berdosa bertukar menjadi kebaikan. Yang maaruf pula dihukumkan sebagai mungkar. Segala kecelaruan ini telah diabsahkan melalui kuatkuasa akta dan undang-undang yang digubal oleh mereka. ISAlah. OSAlah. Akta Polislah. Akta Mesin Cetaklah. Akta Universiti dan Kolej Universitilah. Akta Hasutanlah.

Jika UMNO mendengar nasihat agama-nya sendiri dan mengambil endah teguran ikhlas oleh gerakan Islam yang dipelopori oleh PAS, tentu keadaan tidak jadi begini. Sudah puluhan tahun kami menegur, memberi tazkirah dan tazkiah selain memberi ingat, tetapi UMNO masih bangga dengan kuasanya. Dia buat-buat lupa sehingga akhirnya UMNO menjadi benar-benar nyanyuk dan pelupa.

Padahal jika UMNO menerima Islam secara komprehensif dalam pemerintahannya di segenap segi bermula daripada aqidah, ekonomi, integrasi kaum, pendidikan, hiburan dan undang-undang, saya tidak nampak krisis akhlak bangsa melayu, ekonomi melayu, Bahasa Melayu serta pelbagai masalah sosial orang melayu tidak akan dapat diselesaikan.

Jika UMNO mengamalkan Islam syamil berterusan sejak 50 tahun lalu, semangat perkauman bangsa Cina, Melayu dan India dapat diredakan. UMNO akan dapat menipiskan prejudis antara kaum dan antara bangsa. Ini lebih baik daripada mana-mana polisi kebangsaan yang kononnya mempunyai hasrat memupuk perpaduan kebangsaan, tetapi banyak perlaksanaannya masih bias kepada kepentingan satu-satu kaum. Lama kelamaan prejudis semakin tebal dan tidak menyelesaikan masalah perkauman di negara ini.

Walaupun semua orang tahu bahawa Islam sangat baik tetapi UMNO sengaja menolak Islam walaupun dia beragama Islam. Ini kerana UMNO ingin menyelamatkan partinya dari ditinggalkan oleh orang-orang melayu dan non melayu. UMNO takut untuk memperkenalkan Islam yang sebenar kerana takut orang cina dan orang melayu dalam UMNO menyokong PAS. Dengan kekhuatiran ini, UMNO mendengar nasihat ulamanya yang sengaja menyembunyikan Islam yang sebenar.

Dalam suasana perlaksanaan Islam yang sebenar, orang Cina dan India akan terasa dibawa ke satu suasana yang lain. Mereka akan menikmati keharmonian dan persaudaraan (brotherhood) seperti yang sedang dinikmati oleh penduduk berbilang kaum di Kelantan. Islam yang menghormati hak-hak bukan Islam dengan mengutamakan maaruf dan mencegah kemungkaran disamping menjalankan keadilan untuk semua akan melahirkan persaudaraan di kalangan rakyat.

Walaupun mereka boleh berbeza daripada segi bangsa, bahasa, dan keturunan tetapi Islam yang diambil secara syamil oleh pemimpin negara akan memberi peluang sepenuhnya untuk rakyat menikmati keharmonian Islam itu sendri.

Dalam Islam, kita tidak sangat lebih-lebih berbicara tentang bangsa sebagai dasar yang dijadikan aliran perjuangan karana kita ada Islam itu sendiri. Dalam komuniti Islam, orang mukmin Cina boleh menjadi imam kepada satu komuniti Melayu yang cuma sekadar muslim. Seorang anak muda India yang muslim pula boleh berkongsi mertua atau menerima menantu daripada bangsa Melayu. Tanpa was-was dan curiga, masakan orang Cina muslim boleh dijadikan menu lazat di sebuah restoran muslim Melayu.

Islam mencadangkan tiga cara untuk menyebarkan luas agamanya iaitu Bil Hikmah, Bil Maufizdhoh dan Bil Mujadallah. Sayang dan dukacitanya, ketiga-tiga kaedah ini tidak pernah dijadikan agenda oleh UMNO kerana dia (UMNO) suka menghabiskan masa bercakap soal-soal retorik. Ini berulang dalam slogan yang memabukkan hampir semua orang Melayu.

’Bersih, Cekap dan Amanah’, ’Cemerlang, Gemilang dan Terbilang’, ’World Class’, ’Glokal’, ’Melayu Baru’, ’Melayu Perlu Kurang Ajar’, ’Penyatuan Melayu’, ’Agenda Melayu’, ’Tak Melayu hilang di dunia’, ’Hidup mewah’, Projek mega’, dan ’Pembangunan’. Sikit-sikit, angkat keris! Sekarang saya mahu tanyalah. Kemana pergi semua slogan ini setelah 50 tahun kita merdeka? Kerja mmebela bangsa oleh UMNO selama ini adalah sia-sia belaka kerana UMNO tidak mempunyai hujah. Sampai bila kita mahu menjadikan kerja-kerja membela bangsa sebagai agenda nasional?

Jika kita mahu mengagungkan bangsa, orang lain pun boleh membesar-besarkan bangsa mereka. Kerja ini tidak sudah dan tidak akan ada penyelesaiannya.

Jurang perbezaan pendapatan akan makin ketara kerana perjuangan bangsa sering melunakkan kerja-kerja memakan rasuah dan politik wang di atas nama kepentingan klon daripada puak masing-masing. Seperti AS menghalalkan pengeboman dan pembunuhan atas dasar anti teroris.

Sudahnya orang Melayu tidak akan ke mana. Orang Melayu tidak boleh menjadi orang Cina dan orang Cina pun tidak boleh menjadi India atau Melayu. Amerika tidak akan menjadi orang Arab, dan orang Arab pun tidak berminat menjadi orang Amerika. Jelas bahawa perjuangan berteraskan bangsa menghabiskan masa. Ia sekadar boleh menghadiahkan pecah belah. Sampai bilapun tidak akan tercapai perpaduan nasional.

Dalam keadaan ekonomi orang melayu semakin lemah dan rekod UMNO yang semakin berkubur, mulalah UMNO bercakap soal penyatuan Melayu. Lagi-lagi perpaduan Melayu. Kenapa tidak bercakap soal perpaduan Islam? Saya teringat kata-kata seorang bekas pemimpin MCA di Kelantan yang pernah menyebut bahawa, ’selagi lembu makan rumput dan selagi Melayu makan duit (rasuah), maka kita tak usah bimbang’.

Ini satu gambaran tepat bagaimana duit boleh menutup pintu hati dan menyumbat mulut orang-orang Islam. Orang Islam jenis ini banyak terdapat dalam parti UMNO. Sebab itu UMNO sudah mula tersungkur di tengah-tengah lambakan duit dan pelbagai skandal penyalahgunaan kuasa.

Selangor mahu jadikan negerinya pembangkang sifar. Tahu-tahu pemimpinnya tersungkur dan kini menjadi ketua pembangkang. Di Kelantan, mereka mahu merawat Kelantan tetapi akhirnya mereka terlantar di hospital dan ada orang sedang menawarkan diri untuk memberi rawatan.

Sementara mendengar kecelaruan halatuju UMNO berbunyi, ”usaha merawat dan mencari kesilapan diri berterusan di dalam BN setelah LIMA minggu dihempap kekalahan teruk pilihanraya”. (NST 14 April 2008), saya ingin menghulurkan pemimpin UMNO dengan sepotong Firman Allah SWT yang bermaksud:

”Dan sesiapa yang tidak menyahut (seruan) Rasul yang mengajaknya ke jalan Allah SWT maka ia tidak akan melepaskan diri (dari azab walau ke mana sahaja ia larikan diri) di bumi, dan ia tidak akan memperolehi sesiapapun – yang lain dari Allah – sebagai pelindung-pelindung yang membelanya; mereka (yang demikian sifatnya) adalah dalam kesesatan yang nyata”. (Surah Al Anfal: Ayat 32).

Dalam keadaan-keadaan beginilah saya teringatkan satu lagi petikan ayat Al-Quran daripada surah As Sajdah, Ayat 12 yang bermaksud:

”Dan (alangkah ngerinya), jika sekiranya kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata) : Ya Tuhan kami, (sekarang ini Padang Masyar), kami telah melihat dan mendengar, maka tolong kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal soleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin”.

Artikel Karangan Mursyidul Am Parti Islam Semalaysia (PAS) merangkap Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat (Petikan Siasah 20-26 April 2008 / 13-19 RabiulAkhir 1429)

Tuesday, April 15, 2008

salam....semoga dapat dimanfaatkan

salam...

hmm dah lama terpikir nak buat blog. Alhamdulillah akhirnya tercapai jua hasrat hati :-) . melihat suasana semasa sekarang, internet (terutama blog2) menjadi sumber maklumat alternatif kepada masyarakat malaysia. malah ada dikalangan mereka menjadikan internet sebagai media utama dan sumber info utama. laman-laman blog dijadikan sebagai laman/tempat perbincangan kepada hampir keseluruhan isu; ekonomi, sosial, politik, pemerintahan, pekerjaan, peribadi dan macam2 la. jadi, saya merasakan amat penting untuk saya bersama dengan bloggers2 yg lain memeriahkan lagi media internet dengan cara membuka blog2 sendiri dan membincangkan/memberi info berkenaan isu2 yg berlaku. tapi.....biasanya bila dah buka blog ni terpaksalah selalu mengadap komputer :-). yela mesti kena update, kalu tak watpe buat blog.habis karan je..

buat sahabat2 yg melawat blog saya nih, TQ BERI MUCH :-) . sabar ye. baru mula. so tak banyak lagitulisan2 yang boleh dikongsi.okeh nak balik dah. jumpa lagi di blog nih. salam